30 June 2009

Kuala Lumpur - Tersungkurnya Melayu Di sana


Oleh: Anuar Mohd Nor
Ketua Eksekutif Institut Kajian Asas Kemasyarakatan

“Semua pembantu gerai asing ghaib” - isu dan masalah peniaga kota dan DBKL, hari ini juga mendapat reaksi dari Norazimah Mohd Nor dalam blognya www.nnora75reform.blogspot.com . Beliau menceritakan penindasan DBKL dan kemungkinan rasuah yang berlaku.

Kota metropolitan itu bukan lagi untuk kita. Kuala Lumpur akan terus kecundang dan Melayu Kuala Lumpur akan terus dilanda kegawatan sosioekonomi sehingga Melayu itu sendiri akan pupus di celah-celah kehebatan dan kecanggihan teknologi serta pembangunan kemajuan. Melayu Kuala Lumpur adalah pelesir dan pengemis kota yang hari ini berdepan dengan virus kemiskinan yang semakin membengkak.

Kemiskinan kota semakin jelas menjadi satu epidemik yang gagal di bendung oleh kerajaan. Punca dan sebab masalah ini wujud memang sudah di ketahui oleh mereka. Penyelesaian sahaja yang tersangkut dan semakin tidak keruan dalam mencari ruang untuk pembaikan. Anak–anak kota semakin liar kerana ibu dan bapa semakin runcing menghadapi saingan perniagaan kecil dengan mereka yang bukan warganegara. Indonesia, Pakistan, India , Bangladesh, Cina dan seluruh warga PATI ( pendatang tanpa izin) berniaga sewenang-wenang tanpa ada keperluan untuk melangsungkan tanggungjawab sosial untuk negara ini.

Masalah sosial terbentuk apabila masalah berkaitan dengan ekonomi semakin membengkak. Penyakit sosial – berkembang, pendidikan anak-anak tidak lagi menjadi prioriti utama. Ini semua kerana – kos hidup yang meningkat dan keperluan untuk mencari nafkah seharian lebih penting dari hadir ke sekolah menuntut ilmu.

Melayu kota, semakin tersisih. Menjadi pelacur Melayu sendiri tidak akan menjanjikan kemewahan. Saingan sengit dengan pelacur Cina yang di bawa dan di import untuk terus merosakkan nilai kemasyarakatan negara ini. Berniaga kecil-kecil tidak perlu disebut lagi – semakin sukar dan semakin payah untuk bersaing. Justeru itu Kuala Lumpur akan pupus dari terus di miliki oleh individu bumiputera yang semakin terhambat keluar dari arus kemodenan dan pembangunan.

Ini masalahnya, kepentingan pendidikan untuk anak-anak penting tetapi kepentingan ini jatuh nombor dua kerana kepentingan untuk hidup esok semakin mendesak. Apa guna ke sekolah hari ini dan terus landa kelaparan untuk sehari. Tidakkah sebenarnya penting – untuk kita mengais pagi ini untuk makan pagi ini. Ini penting untuk mereka. Anak-anak muda tutup dari mendapat pendidikan awal sekolah semata-mata mencari rezeki untuk menambah peluang untuk hidup.

Masalah kemiskinan – hanya dikaitkan dengan wang dan ringgit. Masalah ini gagal di lihat dari sudut yang lebih besar. Kemiskinan gagal di lihat dari sudut terperangkapnya kita dalam keadaan yang tidak mempunyai ruang dan peluang untuk berkembang. Kemiskinan juga gagal di definisikan dalam konteks pertandingan yang tidak seimbang. Kemiskinan kota juga gagal di rujuk secara mendalam lantas sebarang tindakan adalah bersifat jangka pendek dan tidak konklusif.

Ambil contoh masalah Ah Long dengan penyelesaian – Skim Pinjaman Khas. Adakah kita sebenarnya tahu masalah asas mereka. Kita tidak bercerita mengenai pinjaman Ah Long kepada peniaga kecil seperti di Masjid India dan di tapak-tapak tajaan DBKL untuk mengayakan kapitalis tertentu. Penyelesaian yang dikatakan Skim Pinjaman Khas itu adalah penyelesaian jangka pendek. Penyelesaian sebenarnya melibatkan kefahaman kita mengenai masalah yang ada – kehadiran ulat-ulat dan apa yang di sebut “rambo” – kapitalis yang menekan dan memaksa kehidupan peniaga di situ di himpit kemiskinan. Ini semua perlu dikaji terlebih dahulu.

Kita juga berdepan dengan kepayahan hidup yang akan melibatkan putaran ganas kemiskinan berterusan. Kita gagal menyelesaikan masalah anak-anak muda yang sudah tidak bersekolah mulai umur 14 tahun lagi. Ini satu masalah besar. Kita tidak pernah mengkaji dengan lebih mendalam masalah ini dan impak anak-anak ini yang tidak bersekolah kepada perkembangan nilai kemasyarakatan khususnya di kota. Kita perlu menyentuh isu-isu kemiskinan seperti ini sekiranya kita mahu melihat perkembangan yang serata dan peredaran masyarakat kota dari garis kemiskinan yang ada. Kita perlu melihat secara mendalam dan bukan mengharap laporan yang di buat berpandukan statistik yang di buat tanpa membicarakan secara normatif dan melihat kepada kualitatif dan nilai keadaan semasa. Kita perlu menyentuh masalah mereka dengan sempurna – melihat dan bertanya dan bukan setakat hadir untuk menunjukkan sokongan atau membuat penyelesaian secara terburu-buru yang hanya menyelesaikan masalah jangka pendek.

Hari ini Melayu seakan terpisah antara yang ekstrem miskin dengan mereka yang sebenarnya hidup di bawah tahap kemiskinan. Keadaan kemiskinan yang tidak dapat di ubah kerana terhad ruang dan peluang amat membimbangkan. Dalam keadaan ekonomi meleset – kita lihat penekanan di buat terhadap peniaga kecil. Kadar sewa di naikkan semata-mata untuk menampung perkara-perkara lain yang tidak menjurus kepada membantu mereka.

Kajian perlu di buat bagi menyelesaikan banyak perkara yang menghantui Melayu kota – khususnya mereka yang berniaga secara kecil-kecilan. Kita perlu juga melihat masalah kemiskinan dari sudut yang lebih luas dan bukan sekadar mengira pendapat purata untuk melihat perkembangan ekonomi. Keadaan sosioekonomi yang semakin bergelora akan turut memberi impak kepada keadaan politik di Kuala Lumpur. Ini tidak akan menjamin tempat orang Melayu di bandar dan Melayu di bandar khususnya peniaga akan terus tersisih sebagai kaum yang semakin pupus di negara ini.

Adakah ini bukan satu kebenaran. Adakah kerajaan sudah berjaya melakukan apa yang dapat membantu Melayu secara terperinci atau kerajaan masih bercerita mengenai polisi nasional yang tidak mengambil kira sentimen dan kepayahan yang mereka lalui.

Kita perlu membicarakan isu kemiskinan Melayu kota secara terperinci. Membuat kajian masalah yang ada – kebanjiran PATI dan pihak kapitalis yang berniaga berlandaskan rasuah – membicarakan masalah Ah Long – membicarakan kemiskinan minda dan anak muda yang tidak lagi bersekolah di peringkat yang muda. Kita perlu bangkit dengan mencari masalah sebenar dan tidak hanya menekan kalkulator dan akhirnya mendapat keputusan kita sudah maju dan nasib orang Melayu sudah terbela.


Posted by:
SW L. Kinta

BLOG 1

 

Copyright © 2009 by Mengusik Minda